Saturday 8 December 2012

PENGENALAN GLOBALISASI



Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Mittleman (1996:7) mentakrifkan globalisasi ialah transformasi sejarah yang mengembang dan mempercepat interaksi merentasi masa dan ruang dengan implikasi yang besar dari segi perhubungan pertukaran kuasa, selain menambah daya kemampuan komuniti untuk menentukan nasib sendiri. Dari perspektif sosiobudaya, menurut Waters (1995:3) “Globalisasi ialah proses sosial yang memperlihatkan kekangan geografi yang semakin berkurang terhadap hal ehwal kemasyarakatan dan budaya, dan manusia sedar bahawa kekangan tersebut semakin berkurang”. (Jeniri Amir,2009:22).
Jelas di sini dunia globalisasi rata-ratanya dibicarakan dari dimensi ekonomi, sebagai satu daya yang secara unggulnya, berupaya mengintegrasikan ekonomi semua negara di dunia, ke dalam satu sistem bersama, yang sejagat coraknya. Dunia globalisasi tidak banyak dibicarakan dari dimensi kemasyarakatan dan kemanusiaan. Dari dimensi ini, dunia globalisasi adalah daya yang mampu mengubah budaya, yakni cara hidup, bangsa atau masyarakat lemah di dunia ini.
Perubahan budaya ini, antara yang ternyata adalah peninggalan nilai-nilai peradaban yang tradisional, oleh bangsa atau masyarakat lemah untuk disisihkan, sama ada secara separa ataupun sepenuhnya, oleh nilai-nilai, unsur-unsur dan seumpamanya, dari Barat. Justeru, perbincangan ini lebih menfokuskan kepada globalisasi budaya. Antara aspek yang ingin dibincangkan adalah dari segi globalisasi budaya adalah dari aspek budaya fesyen, makanan, media massa dan juga bahasa.


No comments:

Post a Comment