Saturday 8 December 2012

MeDiA MaSSa



Media massa merupakan alat yang digunakan dalam penyampaian pesanan dari sumber kepada khalayak (penerima) dengan menggunakan alat-alat komunikasi mekanis seperti surat khabar, filem, radio dan televisyen (Cangara, 2002). Pada era globalisasi ini, media massa merupakan aspek yang penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara kerana ia dapat memberikan sumber maklumat dan informasi terkini. Media massa iaitu media cetak dan media elektronik amat memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan akhlak masyarakat di negara ini. Media elektronik dan media cetak seperti televisyen dan majalah-majalah telah memapakan atau menayangkan gambar-gambar dan filem-filem yang kurang sopan dan tidak beretika seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tarian- tarian berunsur negatif dan cara pemakaian atau fesyen yang tidak bersesuaian dengan budaya timur. Hal ini adalah bertentangan dengan nilai-nilai dan norma budaya yang bertunjangkan kepada agama masyarakat setempat. Perkara ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran remaja.
Selain itu, pengaruh media massa melalui penggunaan internet secara berleluasa juga merupakan pengaruh globalisasi terhadap sosial dan budaya. Media massa dan elektronik juga berjaya mempengaruhi daripada peringkat kanak-kanak sehingga peringkat usia tua. Penggunaan internet secara meluas dengan kadar bayaran yang rendah telah menggalakkan kemasukan budaya barat, apatah lagi pada hari ini segala maklumat berada di hujung jari sahaja dan ia boleh diakses dengan begitu cepat dan pantas. Keadaan ini secara tidak langsung telah memberi peluang kepada pengguna-pengguna untuk melayari laman web yang tidak bermoral daripada filem-filem barat dengan lebih mudah.
            Hal ini mendorong pengguna – pengguna terutamanya golongan remaja mudah terpengaruh dengan tingkah laku dan cara pemikiran barat. Salah satu kesan yang timbul akibat pengaruh media massa terhadap kemasukan globalisasi ialah keruntuhan dan kerosakan jati diri masyarakat rakyat. Kemasukan globalisasi ini akan memberikan impak yang negatif terhadap kelakuan dan pemikiran golongan remaja menyebabkan mereka terpesong jauh daripada budaya timur kerana ia bertentangan dengan nilai-nilai dan norma budaya yang bertunjangkan kepada agama masyarakat setempat. Kerosakan jati diri ini akan memberi kesan yang buruk terhadap pembangunan negara kerana negara akan kehilangan pemimpin yang mempunyai keteguhan jati diri yang kuat pada masa hadapan.  

KESAN POSITIF
Pengaruh globalisasi juga memberi impak positif seperti  memberi kemudahan terhadap manusia untuk berhubung dan menyebarkan maklumat dengan pantas dan mudah ke seluruh dunia. Sistem media massa di pelopori oleh kuasa Barat di dalam penyiaran maklumat terkini. Pengaruh media barat yang luas telah menimbulkan kesan-kesan yang positif terhadap pelbagai golongan masyarakat dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama.
Kesan positif daripada media massa terhadap masyarakat ialah masyarakat akan memperolehi sesuatu berita dengan lebih pantas. Contohnya, berita pengeboman WTC dan peperangan di Iraq. Walaupun berada di negara yang berbeza namun maklumat dan informasi diperolehi dengan pantas melalui media massa. Hal ini akan menyebabkan masyarakat bersikap lebih peka terhadap isu-isu semasa. Selain itu, melalui penggunaan internet dan telefon bimbit membolehkan masyarakat keluar daripada kepompongnya. Hal ini kerana apabila adanya interaksi dua hala antara sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain maka akan menyebabkan kita tidak melihat dari sudut pandangan berdasarkan kaca mata kita sahaja. Sebaliknya, kita akan membuat penilaian mengenai masyarakat luar juga.


KESAN NEGATIF
Antara kesan negatif yang dapat dikenal pasti akibat pengaruh globalisasi terhadap media massa ialah kebanjiran maklumat yang tidak berguna. Kita sedia maklum bahawa lambakan maklumat yang tidak berguna ini amat mudah diakses dengan kecanggihan teknologi maklumat terkini. Buktinya, maklumat yang tidak benar dan tidak berguna mudah diakses dan terus mengalir ke dalam masyarakat kita.
kita juga berhadapan dengan masalah jurang perbezaan peluang untuk mengakses maklumat. Jurang ini jelas ketara antara masyarakat bandar dan masyarakat luar bandar. Untuk itu, kerajaan kita khususnya telah dan sedang membuat berbagai aktiviti bagi mendedahkan masyarakat di luar bandar akan kepentingan 'celik IT' dengan menyediakan berbagai bantuan dan kelengkapan komputer yang mampu menarik minat masyarakat luar bandar dan seterusnya mendedahkan mereka kepada dunia globalisasi.

No comments:

Post a Comment