Saturday 8 December 2012

BaHaSa



Sejak kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Kini, kita dapat mengirim berita pantas melalui e-mail dan SMS – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet.
Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Bahasa Inggeris. Di kalangan pekerja sektor swasta, pertuturan adalah lebih kurang 70 peratus dalam Bahasa Inggeris dan hanya 30 peratus dalam Bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu Bahasa Inggeris.
Justeru, nisbah perkataan baru yang diceduk dari Bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dewasa ini dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita, maka wujudlah laman sosial seperti Facebook, Twitter, Skype, Yahoo Massenger dan telah menyebabkan wujudnya bahasa rojak dan juga bahasa singkatan yang telah menyebabkan rosaknya bahasa kebangsaan kita.



Globalisasi juga menekankan kemajuan yang berdasarkan penguasaan sains dan teknologi serta penguasaan ekonomi. Bahasa sains dan teknologi ialah Bahasa Inggeris dan bahasa ekonomi di peringkat global juga adalah bahasa Inggeris. Oleh itu, globalisasi mempromosikan bahasa Inggeris. Hari ini semua negara mengejar kemajuan. Oleh itu, untuk maju mesti menguasai sains dan teknologi, dan mantap ekonominya. Dengan tuntutan ini, mahu tidak mahu, sama ada secara terpaksa atau tidak, bahasa Inggeris perlu dikuasai oleh sebuah negara bangsa itu. Tuntutan ini perlu dipenuhi jika tuntutan ingin maju mahu dicapai. Perkara ini juga tidak terkecuali kepada negara-negara berbahasa Melayu seperti Brunei, Malaysia dan Indonesia yang memang sudah sekian lama sejak wujudnya tamadun bangsa menjadikan bahasa Melayu sebagai warisan budaya bangsa yang berharga.

Kesan Globalisasi Terhadap Bahasa
        i.            Kemusnahan atau Kepupusan Bahasa
Menurut Teo Kok Seong (2009:103), kemusnahan atau kepupusan bahasa boleh wujud sekurang-kurangnya dalam tiga bentuk.:
·         Kematian Bahasa : Bahasa boleh ‘mati’ dengan kematian penutur natifnya yang terakhir. Pada masa kini, kematian bahasa lazimnya berlaku pada bangsa atau masyarakat primitif, yang bahasanya tidak pernah atau tidak sempat didokumentasikan oleh mana-mana pihak, untuk apa-apa jua tujuan.
·         Kehilangan Bahasa : lesapnya kebolehan berbahasa, khususnya, bahasa ibunda atau etnik dengan baik dan berkesan. Kehilangan bahasa boleh berlaku pada masyarakat, yakni ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat itu, rata-rata tidak lagi fasih menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sepenuhnya, sama ada secara lisan mahupun tulisan. Ini merupakan satu petanda yang amat buruk bahawa bangsa atau masyarakat berkenaan sedang mengalami kehilangan bahasa. Penggunaan bahasa Melayu ‘Rojak’ dalam  kalangan bangsa atau masyarakat Melayu yang berleluasa adalah satu kes kehilangan bahasa.
·         Peralihan Bahasa : keadaan yang memperlihatkan berlakunya peralihan penggunaan, khususnya daripada satu bahasa yang kurang berprestij kepada satu bahasa yang lebih berprestij, dalam bidang-bidang penting contohnya dalam bidang pendidikan, pentadbiran, perundangan dan juga penyiaran. Misalnya, cawangan universiti luar akan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai wahana dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu akan terbantut.

      ii.            Komunikasi dalam Dunia Globalisasi
Komunikasi, yakni pengungkapan dan pengendalian, antaranya ekonomi, sains dan teknologi, perdagangan, perindustrian, dan lain-lain, dalam dunia globalisasi, dianggap oleh sesetengah pihak, tidak boleh dikendalikan dengan baik lagi berkesan dalam bahasa lain, kecuali dalam bahasa Inggeris. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris menjadi penting sehingga diberi jolokan sebagai bahasa ibunda dunia globalisasi selain merupakan bahasa dunia dan bahasa antarabangsa yang utama.
Malaysia, tidak dapat dinafikan, ghairah sekali untuk menyertai dunia globalisasi, dengan aktif, khususnya dalam bidang-bidang teknologi tinggi serta teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam keghairahan Malaysia meraih faedah dunia globalisasi, yang rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris, Malaysia melakukan peralihan bahasa, dalam sistem pendidikan nasionalnya. Peralihan bahasa ini, yakni daripada bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris, secara konsistennya dikaitkan dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya para pelajar. Agar tidak ketinggalan dalam dunia globalisasi, Malaysia telah mulai Januari 2003, menggunakan bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi (melalui dua subjek, iaitu sains dan matematik di peringkat sekolah). Dengan peralihan ini, bahasa Melayu yang selama ini, semenjak kemerdekaan pada 1957, yang merupakan bahasa wahana untuk kemajuan bangsa dan negara di dalam dan di luar Malaysia, tidak boleh dianggap sebagai aset lagi.



Dengan berlakunya peralihan bahasa pada 2003,bahasa Melayu dianggap sebagai liabiliti, yakni ia boleh menimbulkan masalah dan meletakkan Malaysia dalam risiko, antaranya Malaysia boleh menghadapi risiko ketinggalan dalam dunia globalisasi, yang rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu itu sedang berhadapan dengan tentangan yang paling hebat sejak tahun-tahun terakhir kurun lalu hingga membawa ke tahun-tahun awal alaf baru ini dan menyaksikan bagaimana tercabarnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. (Jeniri Amir,2009:2).

No comments:

Post a Comment