Saturday 8 December 2012

PENGENALAN GLOBALISASI



Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Mittleman (1996:7) mentakrifkan globalisasi ialah transformasi sejarah yang mengembang dan mempercepat interaksi merentasi masa dan ruang dengan implikasi yang besar dari segi perhubungan pertukaran kuasa, selain menambah daya kemampuan komuniti untuk menentukan nasib sendiri. Dari perspektif sosiobudaya, menurut Waters (1995:3) “Globalisasi ialah proses sosial yang memperlihatkan kekangan geografi yang semakin berkurang terhadap hal ehwal kemasyarakatan dan budaya, dan manusia sedar bahawa kekangan tersebut semakin berkurang”. (Jeniri Amir,2009:22).
Jelas di sini dunia globalisasi rata-ratanya dibicarakan dari dimensi ekonomi, sebagai satu daya yang secara unggulnya, berupaya mengintegrasikan ekonomi semua negara di dunia, ke dalam satu sistem bersama, yang sejagat coraknya. Dunia globalisasi tidak banyak dibicarakan dari dimensi kemasyarakatan dan kemanusiaan. Dari dimensi ini, dunia globalisasi adalah daya yang mampu mengubah budaya, yakni cara hidup, bangsa atau masyarakat lemah di dunia ini.
Perubahan budaya ini, antara yang ternyata adalah peninggalan nilai-nilai peradaban yang tradisional, oleh bangsa atau masyarakat lemah untuk disisihkan, sama ada secara separa ataupun sepenuhnya, oleh nilai-nilai, unsur-unsur dan seumpamanya, dari Barat. Justeru, perbincangan ini lebih menfokuskan kepada globalisasi budaya. Antara aspek yang ingin dibincangkan adalah dari segi globalisasi budaya adalah dari aspek budaya fesyen, makanan, media massa dan juga bahasa.


BaHaSa



Sejak kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Kini, kita dapat mengirim berita pantas melalui e-mail dan SMS – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet.
Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Bahasa Inggeris. Di kalangan pekerja sektor swasta, pertuturan adalah lebih kurang 70 peratus dalam Bahasa Inggeris dan hanya 30 peratus dalam Bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu Bahasa Inggeris.
Justeru, nisbah perkataan baru yang diceduk dari Bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dewasa ini dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita, maka wujudlah laman sosial seperti Facebook, Twitter, Skype, Yahoo Massenger dan telah menyebabkan wujudnya bahasa rojak dan juga bahasa singkatan yang telah menyebabkan rosaknya bahasa kebangsaan kita.



Globalisasi juga menekankan kemajuan yang berdasarkan penguasaan sains dan teknologi serta penguasaan ekonomi. Bahasa sains dan teknologi ialah Bahasa Inggeris dan bahasa ekonomi di peringkat global juga adalah bahasa Inggeris. Oleh itu, globalisasi mempromosikan bahasa Inggeris. Hari ini semua negara mengejar kemajuan. Oleh itu, untuk maju mesti menguasai sains dan teknologi, dan mantap ekonominya. Dengan tuntutan ini, mahu tidak mahu, sama ada secara terpaksa atau tidak, bahasa Inggeris perlu dikuasai oleh sebuah negara bangsa itu. Tuntutan ini perlu dipenuhi jika tuntutan ingin maju mahu dicapai. Perkara ini juga tidak terkecuali kepada negara-negara berbahasa Melayu seperti Brunei, Malaysia dan Indonesia yang memang sudah sekian lama sejak wujudnya tamadun bangsa menjadikan bahasa Melayu sebagai warisan budaya bangsa yang berharga.

Kesan Globalisasi Terhadap Bahasa
        i.            Kemusnahan atau Kepupusan Bahasa
Menurut Teo Kok Seong (2009:103), kemusnahan atau kepupusan bahasa boleh wujud sekurang-kurangnya dalam tiga bentuk.:
·         Kematian Bahasa : Bahasa boleh ‘mati’ dengan kematian penutur natifnya yang terakhir. Pada masa kini, kematian bahasa lazimnya berlaku pada bangsa atau masyarakat primitif, yang bahasanya tidak pernah atau tidak sempat didokumentasikan oleh mana-mana pihak, untuk apa-apa jua tujuan.
·         Kehilangan Bahasa : lesapnya kebolehan berbahasa, khususnya, bahasa ibunda atau etnik dengan baik dan berkesan. Kehilangan bahasa boleh berlaku pada masyarakat, yakni ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat itu, rata-rata tidak lagi fasih menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sepenuhnya, sama ada secara lisan mahupun tulisan. Ini merupakan satu petanda yang amat buruk bahawa bangsa atau masyarakat berkenaan sedang mengalami kehilangan bahasa. Penggunaan bahasa Melayu ‘Rojak’ dalam  kalangan bangsa atau masyarakat Melayu yang berleluasa adalah satu kes kehilangan bahasa.
·         Peralihan Bahasa : keadaan yang memperlihatkan berlakunya peralihan penggunaan, khususnya daripada satu bahasa yang kurang berprestij kepada satu bahasa yang lebih berprestij, dalam bidang-bidang penting contohnya dalam bidang pendidikan, pentadbiran, perundangan dan juga penyiaran. Misalnya, cawangan universiti luar akan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai wahana dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu akan terbantut.

      ii.            Komunikasi dalam Dunia Globalisasi
Komunikasi, yakni pengungkapan dan pengendalian, antaranya ekonomi, sains dan teknologi, perdagangan, perindustrian, dan lain-lain, dalam dunia globalisasi, dianggap oleh sesetengah pihak, tidak boleh dikendalikan dengan baik lagi berkesan dalam bahasa lain, kecuali dalam bahasa Inggeris. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris menjadi penting sehingga diberi jolokan sebagai bahasa ibunda dunia globalisasi selain merupakan bahasa dunia dan bahasa antarabangsa yang utama.
Malaysia, tidak dapat dinafikan, ghairah sekali untuk menyertai dunia globalisasi, dengan aktif, khususnya dalam bidang-bidang teknologi tinggi serta teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam keghairahan Malaysia meraih faedah dunia globalisasi, yang rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris, Malaysia melakukan peralihan bahasa, dalam sistem pendidikan nasionalnya. Peralihan bahasa ini, yakni daripada bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris, secara konsistennya dikaitkan dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya para pelajar. Agar tidak ketinggalan dalam dunia globalisasi, Malaysia telah mulai Januari 2003, menggunakan bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi (melalui dua subjek, iaitu sains dan matematik di peringkat sekolah). Dengan peralihan ini, bahasa Melayu yang selama ini, semenjak kemerdekaan pada 1957, yang merupakan bahasa wahana untuk kemajuan bangsa dan negara di dalam dan di luar Malaysia, tidak boleh dianggap sebagai aset lagi.



Dengan berlakunya peralihan bahasa pada 2003,bahasa Melayu dianggap sebagai liabiliti, yakni ia boleh menimbulkan masalah dan meletakkan Malaysia dalam risiko, antaranya Malaysia boleh menghadapi risiko ketinggalan dalam dunia globalisasi, yang rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu itu sedang berhadapan dengan tentangan yang paling hebat sejak tahun-tahun terakhir kurun lalu hingga membawa ke tahun-tahun awal alaf baru ini dan menyaksikan bagaimana tercabarnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. (Jeniri Amir,2009:2).

MeDiA MaSSa



Media massa merupakan alat yang digunakan dalam penyampaian pesanan dari sumber kepada khalayak (penerima) dengan menggunakan alat-alat komunikasi mekanis seperti surat khabar, filem, radio dan televisyen (Cangara, 2002). Pada era globalisasi ini, media massa merupakan aspek yang penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara kerana ia dapat memberikan sumber maklumat dan informasi terkini. Media massa iaitu media cetak dan media elektronik amat memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan akhlak masyarakat di negara ini. Media elektronik dan media cetak seperti televisyen dan majalah-majalah telah memapakan atau menayangkan gambar-gambar dan filem-filem yang kurang sopan dan tidak beretika seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tarian- tarian berunsur negatif dan cara pemakaian atau fesyen yang tidak bersesuaian dengan budaya timur. Hal ini adalah bertentangan dengan nilai-nilai dan norma budaya yang bertunjangkan kepada agama masyarakat setempat. Perkara ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran remaja.
Selain itu, pengaruh media massa melalui penggunaan internet secara berleluasa juga merupakan pengaruh globalisasi terhadap sosial dan budaya. Media massa dan elektronik juga berjaya mempengaruhi daripada peringkat kanak-kanak sehingga peringkat usia tua. Penggunaan internet secara meluas dengan kadar bayaran yang rendah telah menggalakkan kemasukan budaya barat, apatah lagi pada hari ini segala maklumat berada di hujung jari sahaja dan ia boleh diakses dengan begitu cepat dan pantas. Keadaan ini secara tidak langsung telah memberi peluang kepada pengguna-pengguna untuk melayari laman web yang tidak bermoral daripada filem-filem barat dengan lebih mudah.
            Hal ini mendorong pengguna – pengguna terutamanya golongan remaja mudah terpengaruh dengan tingkah laku dan cara pemikiran barat. Salah satu kesan yang timbul akibat pengaruh media massa terhadap kemasukan globalisasi ialah keruntuhan dan kerosakan jati diri masyarakat rakyat. Kemasukan globalisasi ini akan memberikan impak yang negatif terhadap kelakuan dan pemikiran golongan remaja menyebabkan mereka terpesong jauh daripada budaya timur kerana ia bertentangan dengan nilai-nilai dan norma budaya yang bertunjangkan kepada agama masyarakat setempat. Kerosakan jati diri ini akan memberi kesan yang buruk terhadap pembangunan negara kerana negara akan kehilangan pemimpin yang mempunyai keteguhan jati diri yang kuat pada masa hadapan.  

KESAN POSITIF
Pengaruh globalisasi juga memberi impak positif seperti  memberi kemudahan terhadap manusia untuk berhubung dan menyebarkan maklumat dengan pantas dan mudah ke seluruh dunia. Sistem media massa di pelopori oleh kuasa Barat di dalam penyiaran maklumat terkini. Pengaruh media barat yang luas telah menimbulkan kesan-kesan yang positif terhadap pelbagai golongan masyarakat dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama.
Kesan positif daripada media massa terhadap masyarakat ialah masyarakat akan memperolehi sesuatu berita dengan lebih pantas. Contohnya, berita pengeboman WTC dan peperangan di Iraq. Walaupun berada di negara yang berbeza namun maklumat dan informasi diperolehi dengan pantas melalui media massa. Hal ini akan menyebabkan masyarakat bersikap lebih peka terhadap isu-isu semasa. Selain itu, melalui penggunaan internet dan telefon bimbit membolehkan masyarakat keluar daripada kepompongnya. Hal ini kerana apabila adanya interaksi dua hala antara sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain maka akan menyebabkan kita tidak melihat dari sudut pandangan berdasarkan kaca mata kita sahaja. Sebaliknya, kita akan membuat penilaian mengenai masyarakat luar juga.


KESAN NEGATIF
Antara kesan negatif yang dapat dikenal pasti akibat pengaruh globalisasi terhadap media massa ialah kebanjiran maklumat yang tidak berguna. Kita sedia maklum bahawa lambakan maklumat yang tidak berguna ini amat mudah diakses dengan kecanggihan teknologi maklumat terkini. Buktinya, maklumat yang tidak benar dan tidak berguna mudah diakses dan terus mengalir ke dalam masyarakat kita.
kita juga berhadapan dengan masalah jurang perbezaan peluang untuk mengakses maklumat. Jurang ini jelas ketara antara masyarakat bandar dan masyarakat luar bandar. Untuk itu, kerajaan kita khususnya telah dan sedang membuat berbagai aktiviti bagi mendedahkan masyarakat di luar bandar akan kepentingan 'celik IT' dengan menyediakan berbagai bantuan dan kelengkapan komputer yang mampu menarik minat masyarakat luar bandar dan seterusnya mendedahkan mereka kepada dunia globalisasi.

MaKaNaN




Pada era globalisasi, masyarakat mempunyai banyak pilihan jenis makanan dan minuman. Pelbagai jenis makanan ditawarkan seperti makanan segar, makanan segera, dan makanan segera (fast food) dari luar negeri. Makanan segera dan cepat saji merupakan makanan yang cukup digemari. Makanan segera banyak digemari kerana praktikal dan sesuai dengan keadaan masyarakat pada era globalisasi yang cukup sibuk. Kita harus memeperhatikan pola pemakanan   yang kita makan. Kerana tidak semua makanan segera  berkhasiat, baik dan menyihatkan. Makanan tradisional pun jauh lebih baik dan sihat untuk dimakan.
Malaysia semakin mencecah tingkat kemajuan yang sama tarafnya dengan dunia- dunia maju yang lain seperti Jepun, Amerika dan sebagainya. Bak kata pepatah, Malaysia sudah hampir ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan negara- negara tersebut apabila globalisasi semakin berkembang pesat. Oleh yang demikian, negara- negara yang terasa bahawa negara mereka akan terancam oleh kemajuan globalisasi ini telah menjalankan beberapa taktik antaranya dengan menguasai sumber makanan masyarakat Malaysia.
Atas sebab globalisasi inilah munculnya McDonalds, Coca-cola, Pizza Hut, Wendy Hamburgers di Malaysia, yang telah menyebabkan masyarakat Malaysia semakin mengikut pemakanan ala barat sekaligus melupakan budaya makanan Malaysia seperti nasi lemak, rendang, ulam-ulaman dan sebagainya yang berkhasiat. Makanan-makanan ini mendapat sambutan yang hebat atas beberapa faktor antaranya adalah sumber makanan yang mudah didapati, ringkas dan cepat berbanding makanan yang perlu dimasak. 
Dengan wujudnya globalisasi juga, semakin banyak makanan telah dijadikan makanan segera. Melalui apa yang diperhatikan makanan segera telah semakin berkembang pesat dan mendapat sambutan hebat daripada semua golongan masyarakat Malaysia. Antara contoh makanan segera adalah roti canai segera, karipap segera, kari segera, sate segera dan pelbagai lagi. Makanan segera mendapat sambutan hebat kerana makanan tersebut boleh disimpan lama. Di sini dapat kita ketahui bahawa makanan tersebut pastilah telah dicampurkan dengan bahan pengawet yang membolehkan makanan tersebut tahan lebih lama berbanding bahan makanan yang tiada bahan pengawet. Keupayaan mempertahankan keutuhan budaya tempatan ini, bagaimana pun, semakin tergugat kerana angkara suatu proses baru yang dipanggil globalisasi, meskipun dilemma globalisasi bukanlah sesuatu yang tidak dapat dielakkan (lihat misalnya Ugarteche, 2000; Mittleman 1996) Terdapat beberapa kategori kebudayaan di dunia ini yang telahpun terglobal seperti Budaya Makan -Makanan Jepun sudah ada di Amerika. Makanan Amerika pula semakin popular di Jepun. Contohnya, McDonalds mempunyai 10,500 restoran di 50 buah negara di dunia Kentucky Fried Chicken mempunyai lebih daripada 7,750 restoran di 58 buah Negara.


KESAN GLOBALISASI MAKANAN

 Seperti mana yang kita lihat sekarang ini, makanan Jepun sudah ada di mana-mana.Restoran serta francais yang mengedarkan makanan Jepun juga tumbuh bak cendawan selepas hujan. Makanan dari Negara Amerika pula semakin popular di Jepun serta serata negara lain. Mc Donald misalnya, mempunyai 10,500 buah restoran di 50 buah negara di dunia manakala Kentucky Fried Chicken mempunyai lebih daripada 7,750 restoran di 58 buah negara. Fenomena yang berlaku ini merupakan salah satu daripada globalisasi yang melanda bidang pemakanan. Malaysia juga tidak terkecuali sebagai salah sebuah negara penyumbang kepada kemajuan francais makanan tersebut. Dengan kewujudan restoran serta francais makanan tersebut, rakyat Malaysia boleh menikmati hidangan yang enak serta tempat yang selesa yang disediakan pihak restoran walaupun harganya sedikit mahal berbanding restoran biasa. Perkhidmatan yang ditawarkan juga amat memuaskan memandangkan mereka telah menetapkan piawaian yang tinggi ataucara kerja yang positif dalam organisasi bermula daripada pekerja biasa hinggalahkepada pihak atasan.
Tidak hairanlah, perniagaan makanan ringan tersebut dapat bertapak dengan kukuh serta berkembang hingga ke hari ini. Kemasukan perniagaan makanan ringan daripada barat ini sebenarnya telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Hal ini seterusnya akan mengurangkan kadar pengangguran serta mengurangkan gejala sosial dalam kalangan belia. Selain itu,proses penyediaan makanan yang disediakan juga telah mendapat pengesahan status halal daripada pihak berkuasa. Namun begitu, terdapat juga kesan negatif daripada kemasukan produk asing tersebut. Dengan peningkatan jumlah restoran tersebut, pengusaha-pengusaha makanan yang berniaga samada melalui gerai atau restoran biasa akan mengalami kesukaran untuk mempertahankan perniagaan mereka.Walaupun ianya dilihat sebagai persaingan sihat, namun kerajaan juga harus memberi peluang serta ruang kepada golongan ini untuk memajukan industri makanan tempatan. Jika dilihat, ramai pengusaha-pengusaha yang tidak dapat bertahan lama dek kerana persaingan sengit yang terpaksa dihadapi dengan francais makanan dari luar Negara tersebut. Seiring dengan kemajuan teknologi, pelbagai alat serta mesin canggih telah Berjaya dicipta dalam bidang pemakanan ini.
Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk memudahkan kerja serta urusan yang dilakukan oleh manusia biasa. Biasanya teknologi yang dicipta ini menjimatkan masa, tenaga, serta wang ringgit. Namun begitu, disebabkan ledakan teknologi ini serta kemasukan produk makanan yang diimport daripada negara luar, banyak makanan di pasaran diragui status halalnya. Contoh yang dapat diambil ialah status halal produk tenusu daripada negara luar yang diragui status halalnya kerana dikatakan menggunakan gelatin babi sebagai salah satu bahan adunanmdalam produk tersebut. Selain itu, kecanggihan teknolgi juga menyebabkan status hala layam mentah di pasaran diragui kerana terdapat laporan menyatakan ayam tersebut tidak disembelih dengan cara yang betul. Tambahan, ada laporan menyatakan ayam tersebut hanya dikenakan kejutan elektrik.