Sejak kebelakangan ini, kesan kemajuan
global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah
hidup dengan komputer dan internet. Kini, kita dapat mengirim berita pantas
melalui e-mail dan SMS – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian
perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui
internet.
Perkataan terbaru sering memasuki
perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih
dahulu. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Bahasa Inggeris. Di
kalangan pekerja sektor swasta, pertuturan adalah lebih kurang 70 peratus dalam
Bahasa Inggeris dan hanya 30 peratus dalam Bahasa Melayu, itu pun adunan
bahasanya dalam keadaan lintang-pukang. Dan secara ketara, pendidikan negara
mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu
Bahasa Inggeris.
Justeru, nisbah perkataan baru yang
diceduk dari Bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dewasa ini
dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita, maka wujudlah laman sosial seperti
Facebook, Twitter, Skype, Yahoo Massenger
dan telah menyebabkan wujudnya bahasa rojak dan juga bahasa singkatan yang
telah menyebabkan rosaknya bahasa kebangsaan kita.
Globalisasi juga menekankan kemajuan
yang berdasarkan penguasaan sains dan teknologi serta penguasaan ekonomi.
Bahasa sains dan teknologi ialah Bahasa Inggeris dan bahasa ekonomi di
peringkat global juga adalah bahasa Inggeris. Oleh itu, globalisasi mempromosikan
bahasa Inggeris. Hari ini semua negara mengejar kemajuan. Oleh itu, untuk maju
mesti menguasai sains dan teknologi, dan mantap ekonominya. Dengan tuntutan
ini, mahu tidak mahu, sama ada secara terpaksa atau tidak, bahasa Inggeris
perlu dikuasai oleh sebuah negara bangsa itu. Tuntutan ini perlu dipenuhi jika
tuntutan ingin maju mahu dicapai. Perkara ini juga tidak terkecuali kepada
negara-negara berbahasa Melayu seperti Brunei, Malaysia dan Indonesia yang
memang sudah sekian lama sejak wujudnya tamadun bangsa menjadikan bahasa Melayu
sebagai warisan budaya bangsa yang berharga.
Kesan Globalisasi Terhadap Bahasa
i.
Kemusnahan atau Kepupusan Bahasa
Menurut Teo Kok Seong (2009:103), kemusnahan
atau kepupusan bahasa boleh wujud sekurang-kurangnya dalam tiga bentuk.:
·
Kematian Bahasa : Bahasa boleh ‘mati’ dengan kematian
penutur natifnya yang terakhir. Pada masa kini, kematian bahasa lazimnya
berlaku pada bangsa atau masyarakat primitif, yang bahasanya tidak pernah atau
tidak sempat didokumentasikan oleh mana-mana pihak, untuk apa-apa jua tujuan.
·
Kehilangan Bahasa : lesapnya kebolehan berbahasa,
khususnya, bahasa ibunda atau etnik dengan baik dan berkesan. Kehilangan bahasa
boleh berlaku pada masyarakat, yakni ahli-ahli dalam sesebuah masyarakat itu,
rata-rata tidak lagi fasih menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka
sepenuhnya, sama ada secara lisan mahupun tulisan. Ini merupakan satu petanda
yang amat buruk bahawa bangsa atau masyarakat berkenaan sedang mengalami
kehilangan bahasa. Penggunaan bahasa Melayu ‘Rojak’ dalam kalangan bangsa atau masyarakat Melayu yang
berleluasa adalah satu kes kehilangan bahasa.
·
Peralihan Bahasa : keadaan yang memperlihatkan berlakunya
peralihan penggunaan, khususnya daripada satu bahasa yang kurang berprestij
kepada satu bahasa yang lebih berprestij, dalam bidang-bidang penting contohnya
dalam bidang pendidikan, pentadbiran, perundangan dan juga penyiaran. Misalnya,
cawangan universiti luar akan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai wahana
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS
yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan
meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa
bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini
berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat
Malaysia dan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu
akan terbantut.
ii.
Komunikasi dalam Dunia Globalisasi
Komunikasi, yakni pengungkapan dan
pengendalian, antaranya ekonomi, sains dan teknologi, perdagangan,
perindustrian, dan lain-lain, dalam dunia globalisasi, dianggap oleh sesetengah
pihak, tidak boleh dikendalikan dengan baik lagi berkesan dalam bahasa lain,
kecuali dalam bahasa Inggeris. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris menjadi
penting sehingga diberi jolokan sebagai bahasa ibunda dunia globalisasi selain
merupakan bahasa dunia dan bahasa antarabangsa yang utama.
Malaysia,
tidak dapat dinafikan, ghairah sekali untuk menyertai dunia globalisasi, dengan
aktif, khususnya dalam bidang-bidang teknologi tinggi serta teknologi maklumat
dan komunikasi. Dalam keghairahan Malaysia meraih faedah dunia globalisasi,
yang rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris, Malaysia melakukan peralihan
bahasa, dalam sistem pendidikan nasionalnya. Peralihan bahasa ini, yakni
daripada bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris, secara konsistennya dikaitkan
dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan rakyat Malaysia,
khususnya para pelajar. Agar tidak ketinggalan dalam dunia globalisasi,
Malaysia telah mulai Januari 2003, menggunakan bahasa Inggeris untuk pengajaran
dan pembelajaran sains dan teknologi (melalui dua subjek, iaitu sains dan
matematik di peringkat sekolah). Dengan peralihan ini, bahasa Melayu yang
selama ini, semenjak kemerdekaan pada 1957, yang merupakan bahasa wahana untuk
kemajuan bangsa dan negara di dalam dan di luar Malaysia, tidak boleh dianggap
sebagai aset lagi.
Dengan
berlakunya peralihan bahasa pada 2003,bahasa Melayu dianggap sebagai liabiliti,
yakni ia boleh menimbulkan masalah dan meletakkan Malaysia dalam risiko,
antaranya Malaysia boleh menghadapi risiko ketinggalan dalam dunia globalisasi,
yang rata-ratanya menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu itu sedang
berhadapan dengan tentangan yang paling hebat sejak tahun-tahun terakhir kurun
lalu hingga membawa ke tahun-tahun awal alaf baru ini dan menyaksikan bagaimana
tercabarnya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan
bahasa kebangsaan. (Jeniri Amir,2009:2).